2/24/2011

Hormat Menghormati

Rasulullah S.A.W. bersabda:

Maksudnya :

“Barang siapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka muliakanlah (hormatilah) tetamunya.”(Hadis Riwayat Ash-Syaikhani )

Berdasarkan maksud Hadis di atas, jelaslah kepada kita bahawa, sebagai umat Islam kita telah diajar oleh agama kita supaya menghormati tetamu.

Pada masa ini , imej umat Islam telah digambarkan di peringkat dunia dengan imej yang buruk. Umat Islam telah di label sebagai pengganas yang suka melakukan pelbagai kerusakan , bersikap bengis dan sebagainya. Oleh itu, kita hendaklah mengambil kesempatan serta peluang semasa kehadiran tetamu dari pelbagai negara, agama dan budaya ini dengan memperlihatkan hakikat mulia akhlak islam yang sebenarnya, terutamanya dalam melayani dan berinteraksi dengan para tetamu tersebut.

Untuk memenuhi kehendak hadis yang telah dibacakan sebentar tadi, kita uma islam hendaklah sentiasa menjaga akhlak kita terhadap para tetamu yang hadir. Di antara aspek yang perlu diutamakan ialah ;

(i) Menggunakan bahasa percakapan yang baik, lembut serta bersopan santun, kerana dengan bahasa yang baik akan memikat hati yang mendengar dan akan menyerlahkan keindahan islam.

Allah berfirman :

Dan ucapkanlah kata -kata yang baik kepada manusia.

(ii) kita hendaklah selalu menunjukan tingkahlaku serta perbuatan yang mulia. Umpamanya, dengan mengamalkan sikap suka tolong menolong dan bersedia memberikan bantuan serta menunjuk jalan bagi memudahkan para tetamu di dalam berurusan. Ini sesuai dengan firman Allah SWT di dalam Surah Al-Kahfi ayat 110 :

Maksudnya :

"Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh...."( Surah Al-Kahfi : Ayat 110 ).

(iii) Selaku umat Islam kita juga hendaklah menunjukan perwatakan muka yang manis dan sentiasa memberikan senyum kerana dengan perbuatan yang sedemikian akan menambat hati dan perasaan senang untuk para tetamu berintraksi dengan kita. Ini sesuai dengan apa yang pernah dipesan oleh Rasululllah saw. bahawasanya,"Senyum itu adalah merupakan suatu sedekah".

Selain daripada tiga pekara yang wajib kita laksanakan terhadap tetamu kita juga hendaklah sentiasa menjaga emosi. Kita tahu bahawa tetamu-tetamu kita datang dari pelbagai negara. Oleh itu kita sepatutnya menjaga emosi kita supaya apa yang kita lakukan tidak membawa kepada rosaknya hubungan peribadi dan juga hubungan peringkat negara. Kadang-kadang disebabkan emosi yang tidak terkawal, memburukan hubungan peribadi kita dengan para tetamu kita. Sekiranya perkara seumpama ini dibiarkan tanpa dikawal, maka dikuatiri akan merosakkan hubungan negara kita dengan negara-negara lain.

Mengawal emosi kita adalah sangat penting terutama dalam menghadapi cabaran- cabaran yang berterusan kepada kita umat Islam. Pada hari ini negara kita telah memperlihatkan kemantangan kita dalam mengurus konflik dalam negara dan antarabangsa. Oleh sebab itu kita rakyat Malaysia seharusnya bijak dan mencontohi kepimpinan kita apabila kita mengendalikan emosi kita.

Negara kita dengan tegas dan berani memperjuangan keamanan dunia dan menentang apa jua bentuk kekerasan, keganasan dan peperangan. Ini semua dilakukan selaras dengan kehendak Islam dan demi kebahagian manusia seluruhnya. Oleh itu, kita rakyat Malaysia khasnya umat islam hendaklah bersatu dan berpadu menyokong usaha kerajaan kita memperjuangkan keamanan ini dan berdiri teguh bersamanya.

Kita sedar bahawa dalam suasana keamanan dunia yang tidak terjamin dan kemungkinan perang boleh berlaku, khususnya di Iraq maka sekali lagi kita umat Islam malaysia dingatkan agar lebih bijaksana dalam menangani isu tersebut. Ini penting agar tindakan kita tidak akan merugikan kita dan negara kita.

Kita percaya, dalam keadaan marah, simpati dan kecewa mungkin ada pihak -pihak yang tidak bertangggungjawab cuba " menangguk di air keroh" dengan mengambil tindakan sendirian dan tidak bijak . Maka jika ini berlaku , yang akan ruginya ialah diri sendiri, keluarga , bangsa dan negara.

Oleh itu kita umat Islam mesti mempunyai keyakinan dan pendirian yang jelas dengan tidak terpengaruh kepada dorongan hawa nafsu sebaliknya patuh kepada keputusan yang di buat oleh kerajaan kerana tindakan dan pendirian kerajaan berasaskan maklumat dan fakta yang benar , tepat serta bijaksana.

Dari penjelasan-penjelasan yang telah disampaikan, nyatalah kepada kita bahawa betapa pentingnya kita menghormati tetamu dan menjaga emosi supaya keindahan Islam tergambar dalam penghayatan peribadi kita umat islam. Dengan itu, baik secara sedar atau tidak ia akan dapat mengikis fikiran negatif terhadap Islam dan umat Islam seluruhnya.

Marilah sama-sama kita berdoa kehadrat Allah SWT, semoga negara kita dan seluruh dunia ini sentiasa kekal dalam keamanan dan terhindar dari berlaku sebarang kekacauan dan peperangan yang , boleh menyebabkan kemusnahan sesebuah negara dan kematian manusia yang tidak berdosa.

Sumber: e-khutbah JAKIM

Tiada ulasan: